Kongres AS sepina White House tuntut dokumen siasat Trump


Presiden AS Donald Trump sedang disiasat Kongres kerana didakwa meminta bantuan kuasa asing untuk kempen pemilihan presiden akan datang, tindakan yang dianggap pengkhianatan. – Gambar AFP, 5 Oktober, 2019.

JAWATANKUASA Kongres yang menjalankan siasatan pendakwaan ke atas Presiden AS Donald Trump semalam mengarahkan White House menyerahkan dokumen untuk membantu siasatan, kata panel.

Kenyataan daripada jawatankuasa diketuai wakil rakyat Demokratik itu berkata mereka sudah menghantar surat kepada pemangku Ketua Turus White House Mick Mulvaney menuntut dokumen berkaitan dakwaan Trump menekan Ukraine untuk manfaat politiknya.

“White House enggan berhubung dengan- atau menjawab- pelbagai permohonan untuk dokumen daripada jawatankuasa kami untuk memberikannya secara sukarela. Selepas hampir sebulan terhalang, nampaknya jelas yang presiden memilih jalan ingkar, halang dan melindungi,” kata pengerusi dalam satu kenyataan.

“Kami sangat kesal kerana Presiden Trump meletakkan kami- dan negara- dalam kedudukan ini, tetapi tindakannya menyebabkan kami tiada pilihan lain selain menghantar sepina.”

White House diberikan sehingga 18 Oktober untuk menghantar dokumen diperlukan. – AFP, 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen