India bidas Malaysia, Turki berhubung kritikan Kashmir 


Jurucakap Kementerian Luar India Raveesh Kumar berkata, dasar India terhadap Jammu dan Kashmir adalah hal dalaman.– Gambar EPA, 4 Oktober, 2019.

NEW Delhi hari ini membidas Malaysia dan Turki berikutan kritikan terhadap cara ia menguruskan isu Kashmir, lapor Times of India hari ini.

Jurucakap Kementerian Luar Raveesh Kumar berkata, dasar India terhadap Jammu dan Kashmir adalah hal dalaman.

Ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir meminta India menjalankan tugasnya menguruskan isu itu.

Beliau berkata, Jammu dan Kashmir telah “dijajah dan diduduki”, dan walaupun terdapat resolusi PBB untuk India dan Pakistan menyelesaikan isu itu secara aman, krisis masih berlarutan.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut mengkritik India berhubung situasi di Kashmir pada perhimpunan PBB, dan berkata situasi itu perlu diselesaikan menerusi dialog dan berdasarkan undang-undang, bukan pertelingkahan.

Kumar berkata bahawa Jammu dan Kashmir telah “menandatangani Instrument of Accession seperti semua negara-negara bangsawan lain”, dan berpendapat bahawa Pakistan yang menyerang dan menduduki bahagian-bahagian Jammu dan Kashmir secara haram.

Beliau berkata kerajaan Malaysia harus ingat hubungan persahabatan antara kedua-dua negara dan jangan membuat kenyataan sedemikian. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen