Raih RM24.75 juta, 249 individu ditahan terlibat judi dalam talian 


MERAIH keuntungan sehingga RM24.75 juta sebulan, 247 warga China dan dua individu warga tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat perjudian dalam talian dalam tujuh serbuan berasingan.

Bertindak atas maklumat dan risikan, serbuan ‘Op Perjudian Online (JOL) Calling Centre’ ke atas mereka yang berusia 20 hingga 40 tahun itu dilakukan sepasukan polis di 11 unit premis dari 25 September hingga Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, pihaknya turut merampas peralatan dan barangan dianggarkan bernilai RM3.1 juta yang digunakan untuk tujuan aktiviti itu.

“Serbuan pertama dilakukan pada 25 September lalu di sebuah pejabat di Jalan Kerinchi dan menahan seramai 43 warga asing manakala lapan individu termasuk dua warga tempatan dipercayai penjaga premis ditahan di kondominium di Jalan Cheras.

Serbuan seterusnya, dijalankan di tiga premis di Jalan Desa Bahagia dengan menahan 93 warga China dan merampas 133 komputer serta 855 komputer riba,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, pada Isnin lepas, pihaknya menahan 35 warga China di satu pejabat di Bangsar South, Kerinchi selain merampas 35 komputer riba dan 54 telefon pintar  sementara lima lelaki warga China ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cheras.

Selain itu, polis juga telah menyerbu sebuah kondominium di Jalan Ceylon dan dua premis di Jalan Mayangsari serta menahan lagi 65 individu warga China termasuk merampas pelbagai barangan.

Menurut Mazlan lagi, pihaknya percaya serbuan-serbuan yang dilakukan ini melibatkan sindiket-sindiket yang berbeza dengan menggunakan aplikasi WeChat dan menyasarkan pelanggan atau pemain di negara China.

“Kita percaya trend sindiket ini adalah menyewa premis dengan bayaran RM8,000 sehingga RM23,000 dalam tempoh singkat untuk dijadikan sebagai pusat panggilan perjudian dalam talian dan ahli sindiket juga dibayar gaji kira-kira RM3,000 sebulan.

Siasatan juga mendapati sindiket ini mampu mengaut untung RM825,000 sehari dan mampu mencecah RM24.75 juta sebulan,” kata beliau dan menambah kesemua mereka direman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Selain itu, Mazlan berkata pihaknya juga mengingatkan kepada pemilik kondominium atau premis untuk tidak sama sekali menyewakan kepada individu yang mencurigakan bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut beliau, sepanjang tempoh Januari hingga 2 Oktober lepas, Polis Kuala Lumpur telah membuat 54 serbuan dalam operasi JOL melibatkan 1,066 tangkapan dengan rampasan wang tunai RM148,642. – Bernama, 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen