Cuepacs mohon kerajaan pertimbang kenaikan gaji


SM Amin

KERAJAAN perlu pertimbang semakan semula saraan untuk memberi kenaikan gaji dalam Belanjawan 2020, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya Azih Muda berkata, ia merupakan tuntutan utama untuk menghadapi beban kos sara hidup ekoran dengan kenaikan harga barangan yang tidak mampu ditangani oleh kerajaan.

“Jika tidak dapat diturunkan (harga barang), kerajaan perlu mempertimbangkan kenaikan gaji kepada penjawat awam.

“Cuepacs ingin merayu kepada kerajaan supaya pemberian satu kenaikan gaji yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu yang tidak dilaksanakan sebelum ini, dapat ditimbangkan semula,” katanya.

Menurut Azih, semakan saraan tidak berlaku sejak 1 Januari 2002.

Cuepacs juga menuntut kerajaan menyediakan rumah mampu milik berharga antara RM90,000 hingga RM150,000 kepada penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

“Rumah-rumah yang tidak terjual ini harganya sangat tinggi, tidak mampu dibeli oleh penjawat awam. Kami berharap dapat disediakan rumah mampu milik dengan harga RM90-RM150 ribu.

Cuepacs juga mengharap kerajaan dapat memberi pelepasan cukai lebih tinggi, menyelaras elaun sara hidup (Cola) kepada RM500 dan memberi bonus sebulan gaji kepada penjawat awam, katanya.

“Cuepacs berpandangan pelepasan cukai ini wajar kerana ia menambah pendapatan boleh belanja penjawat awam.

“Kita cadangkan juga kerajaan menyeragamkan elaun Cola diseluruh negara kerana tiada tempat yang tidak mengalami kenaikan kos sara hidup.

“Pertimbang juga elaun bandar dan sebulan bonus untuk penjawat awam,” katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober,  yang merupakan belanjawan kedua dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan. – 4 Oktober, 2019.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen