Jumlah kematian meningkat 35 orang dalam protes di Iraq


Protes anti-kerajaan di seluruh Iraq mula tercetus pada awal minggu ini.– Gambar EPA, 4 Oktober, 2019.

SEKURANG-kurangnya 35 orang terbunuh sejak protes anti-kerajaan di seluruh Iraq tercetus awal minggu ini, lapor agensi berita Anadolu memetik sumber perubatan.

Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Iraq berkata pada Khamis sekurang-kurangnya 1,177 orang cedera sejak tiga hari lalu.

Seorang aktivis awam berkata Polis Iraq melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang cuba melanggar arahan perintah berkurung di Baghdad pada Jumaat.

Penunjuk perasaan menuntut taraf hidup ditingkatkan dan rasuah dihapuskan.

Pasukan keselamatan melepaskan tembakan untuk menyuraikan  penunjuk perasaan menyebabkan ramai yang cedera. Kerajaan turut menyekat perkhidmatan internet.

Pada Khamis, pihak berkuasa Iraq mengenakan perintah berkurung di Baghdad dalam usaha untuk menamatkan protes.

Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi berkata aktiviti bantuan kemanusiaan dan pergerakan pelancong masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Baghdad adalah dibenarkan.

Pihak berkuasa Iraq turut mengumumkan perintah berkurung di wilayah Dhi Qar, Maysan, Najaf dan Babil. – Bernama, 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen