Veteran tentera lapor polis tulisan penulis blog tuduh menteri merompak


Kalidevi Mogan Kumarappa

Presiden GMPN, Razali Zakaria berkata, pihak berkenaan sepatutnya membuat aduan rasmi terhadap dakwaan penyelewengan melibatkan dua menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2019.

SATU NGO veteran tentera membuat laporan polis terhadap seorang penulis blog yang menggelar dua menteri kerajaan, Mohamad Sabu dan Mujahid Yusof sebagai perompak.

NGO Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) membuat laporan ke atas tulisan di blog www.thethirdforce.net itu yang didakwa mewujudkan prasangka jahat ke atas pemimpin kerajaan.

Tulisan di blog tersebut membangkitkan dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan juga dalam Lembaga Tabung Haji.

Presiden GMPN, Razali Zakaria berkata penulis blog tersebut sepatutnya membuat aduan rasmi sekiranya benar dua menteri terbabit melakukan penyelewengan.

“Jangan hanya buat tuduhan melulu seperti ini,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Tulisan dalam blog bertarikh 1 Oktober itu antara lain mendakwa pemimpin parti Amanah seperti Mohamad Sabu dan Mujahid giat membantu DAP merompak aset dan dana milik Melayu-Islam.

Ia mengaitkan pengumuman dividen LTAT oleh menteri pertahanan sebanyak 2% pada hujung bulan lalu, yang lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Tulisan itu memetik kenyataan Mohamad yang berkata dividen rendah itu disebabkan  kemampuan semasa LTAT yang terjejas akibat “pelaburan tidak munasabah kepimpinan terdahulu”.

Tulisan berkenaan turut menuduh Mujahid yang merupakan menteri hal ehwal agama Islam terlibat dalam usaha melupuskan aset Tabung Haji kepada kaum lain.

Mengulas perkara itu, Razali berkata tulisan berkenaan akan menimbulkan prasangka jahat di kalangan masyarakat.

“Meskipun posting itu berbentuk persepsi atau pandangan peribadi namun jika ia ditularkan, ia akan menjadi satu prasangka jahat di kalangan masyarakat umum,” katanya.

Katanya, laporan polisnya juga untuk mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat menyiasat individu terlibat yang menyebarkan dakwaan itu di media sosial. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen