KENYA telah kalah dalam kesnya menentang bekas jurulatih kebangsaan pasukan bola sepak negara itu, Adel Amrouche dan mempunyai tempoh sehingga 19 Oktober untuk membayar sejumlah US$1.08 juta kepadanya sebagai pampasan, lapor agensi berita China Xinhua.
Presiden Persekutuan Bolasepak Kenya (FKF) Nick Mwendwa telah mengesahkan bahawa negara Afrika timur itu kalah dalam rayuannya di Mahkamah Timbang Tara Untuk Sukan (CAS).
“Benar CAS telah memberikan pampasan sebanyak US$860,000 kepada Amrouche dan tambahan US$22,000 sebagai kos kes itu. Kami perlu membayar jumlah ini pada 19 Okt,” kata Mwendwa pada Khamis di Nairobi.
Amrouche telah dipecat pada Ogos 2014 selepas beliau digantung selama setahun oleh Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) kerana meludah seorang pengadil ketika menjadi ketua jurulatih Harambee Stars.
Warga Belgium itu menuntut pampasan sebanyak US$1.3 juta yang merupakan bayaran bagi baki kontrak lima tahun yang ditandatangani sehingga 2019.
Jika Kenya gagal melunaskan pampasan itu, FIFA mungkin menahan gerannya untuk negara tersebut atau mengeluarkannya daripada perlawanan antarabangsa yang bermula dengan kelayakan Piala Dunia 2022 pada November.
Mwendwa berkata kontrak yang ditandatangani Amrouche disediakan pendahulunya di bawah bekas presiden Sam Nyamweya, yang memihak kepada jurulatih itu. – Bernama, 4 Oktober, 2019.
Komen