PRESIDEN Ecuador Lenin Moreno pada Khamis mengisytiharkan keadaan darurat selama dua bulan susulan tunjuk perasaan, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Satu mogok oleh pekerja pengangkutan dan pemandu teksi dilancarkan di seluruh negara bagi menentang penghapusan subsidi minyak yang membawa kepada tunjuk perasaan antikerajaan dan keganasan.
Kerajaan menghapuskan subsidi minyak yang diberikan selama empat dekad pada Selasa sebagai sebahagian daripada persetujuan yang dicapai dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi memperoleh pembiayaan.
Moreno menyifatkan subsidi itu sebagai “satu gangguan yang menyebabkan kemerosotan ekonomi negara”dalam pengumuman rasmi, menurut saluran TV Telesur yang berpangkalan di Caracas.
Beliau juga berkata mereka bertekad tidak akan mengubah keputusan berkaitan “kesemua subsidi tidak munasabah itu yang merosakkan negara.”
Menteri Dalam Negeri Maria Romo berkata 19 orang ditahan susulan tunjuk perasaan itu. – Bernama, 4 Oktober, 2019.
Komen