SEKURANG-kurangnya lapan orang lemas dan berpuluh-puluh lagi hilang selepas sebuah bot yang dipenuhi oleh pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh tenggelam hari ini, mangsa terbaru yang melarikan diri akibat krisis yang berlaku di Myanmar.
Bot itu membawa lebih kurang 50 orang tenggelam di muara sungai Naf yang memisahkan dua negara tersebut, kata komander Border Guard Bangladesh (BGB), Leftenan Kolonal S.M. Ariful Islam kepada AFP.
Kira-kira 200 rakyat Rohingya telah lemas sepanjang enam minggu lalu dalam cubaan mereka untuk memasuki Bangladesh, majoritinya menggunakan bot kayu nelayan yang kecil yang sarat dengan penumpang.
Islam berkata mayat lapan mangsa tersebut terdampar di tebing sungai manakala 21 orang berjaya berenang menyelamatkan diri.
“Lapan orang terbunuh. Majoritinya adalah kanak-kanak,” kata Islam, yang manambah bahawa bot yang digunakan terlalu sarat dengan pelarian yang terdesak untuk melarikan diri.
Pengawal pantai dan sempadan sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat di sungai Naf, katanya.
Lebih daripada separuh juta pelarian Rohingya telah tiba di Bangladesh sejak tujuh minggu lalu untuk menyelamatkan diri daripada tindakan keras pihak tentera yang disifatkan oleh PBB sebagai pembersihan etnik.
Seorang lagi pengawal sempadan memberitahu AFP jarak bot tersebut hanya 200 meter daripada pantai Bangladesh ketika ia tenggelam.
Seorang pegawai tempatan, Fazlul Haq berkata bot tersebut dimiliki oleh seorang penduduk kampung di Bangladesh yang memungut sejumlah besar wang hasil daripada memindahkan pelarian Rohingya.
Pelarian Rohingya selalunya dikenakan bayaran yang sangat tinggi untuk perjalanan tersebut.
Insiden tersebut tercetus selepas satu lagi bot yang dipenuhi oleh pelarian Rohingya terbalik minggu lalu, menyebabkan 34 orang maut. – AFP, 16 Oktober, 2017.
Komen