PENJAWAT awam yang mendedahkan mengenai salah laku akan diberi ganjaran, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.
Beliau berkata kementerian mewujudkan Anugerah Integriti dan Personaliti yang berada di peringkat akhir penilaian oleh jawatankuasa diketuai oleh ketua setiausaha perbendaharaan.
Penerima mungkin menerima sehingga RM30,000 tertakluk kepada keputusan panel anugerah yang akan termasuk ketua setiausaha dan wakil kementerian.
Lim berkata anugerah itu akan menjadi insentif bagi menanamkan budaya membenci rasuah dalam perkhidmatan awam dan merupakan sebahagian daripada usaha memperbaharui pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata untuk mendedahkan salah laku, penjawat awam yang mengetahui perkara berkenaan hendaklah menyalurkan aduan mereka kepada ketua setiausaha kementerian masing-masing, atau kepada ketua setiausaha perbendaharaan.
“Kerajaan memerlukan penjawat awam mendapat kelulusan pihak atasan mereka untuk membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
“Mereka perlu melalui proses dalaman dan hanya jika ia merupakan isu yang sangat serius, barulah laporan akan dibuat,” katanya.
Lim juga mengumumkan perkembangan hadiah lain, Anugerah Kreativiti dan Inovasi, untuk memberi motivasi kepada penjawat awam membangunkan cara menjimatkan kos.
Penjimatan yang dibuat oleh kementerian pada projek akhir akan dimasukkan semula kepada kementerian masing-masing untuk kegunaan sendiri dan bukannya disalurkan ke dana kerajaan yang disatukan. – 4 Oktober, 2019.
Komen