PESURUHJAYA Kesatuan Eropah bagi Migrasi, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kewarganegaraan Dimitris Avramopoulos pada Khamis berkata terdapat “keperluan mendesak” bagi menghentikan pelarian memasuki Greece dari Turki secara haram, lapor agensi berita China Xinhua.
“Ketibaan yang tidak teratur di Greece meningkat sejak beberapa bulan lepas. Terdapat keperluan mendesak untuk mengawal pemergian dari Turki dan saya menghargai usaha yang telah dilakukan Turki, terutama semasa tekanan penghijrahan ke atas Turki berterusan,” katanya dalam sidang akhbar bersama dengan Menteri-Menteri Dalam Negeri Turki, Jerman dan Perancis.
Penglibatan berterusan Turki dengan pihak berkuasa Greece amat penting, kata beliau sambil menambah bahawa perkara itu harus menjadi usaha bersama.
Bagi pihaknya, Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu memberi amaran bahawa penghijrahan sejumlah 3.75 juta orang adalah berikutan kemungkinan pembangunan di wilayah Idlib, Syria.
Beliau juga menggesa EU berkongsi beban pelarian dengan Ankara memandangkan Turki menjadi tuan rumah kepada hampir 3.6 juta rakyat Syria.
Sambil mengingatkan Ankara “telah memenuhi komitmennya” di bawah perjanjian migran 2016 dengan EU, Soylu berkata “kami mengharapkan Eropah melakukan perkara yang sama.
“Di mana sahaja kami boleh menghulurkan bantuan, kami sedia berbuat demikian,” kata Horst Seehofer, Menteri Dalam Negeri Persekutuan Jerman.
Pertemuan dibuat selepas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bulan lepas memberi amaran Turki mungkin “membuka pintu” bagi membenarkan rakyat Syria menyeberang ke Eropah jika pelan untuk mewujudkan satu zon selamat dengan Amerika Syarikat di utara Syria, yang bertujuan menempatkan semula pelarian, gagal direalisasi. – Bernama, 4 Oktober, 2019.
Komen