Perlu ada bukti kukuh jika rakyat mahu GST semula, kata Guan Eng


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan telah berjaya menampung inflasi dan kos sara hidup selepas memansuhkan GST. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Oktober, 2019.

HARUS ada bukti kukuh yang rakyat mahu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula untuk kerajaan mempertimbangkan langkah itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Jika rakyat mahukannya, kita perlukan mandat yang jelas daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan bersama kakitangan di kementeriannya.  

Lim berkata orang ramai telah menyatakan dengan jelas melalui undi mereka pada pilihan raya umum lepas bahawa mereka menentang GST 6% yang dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu.  

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata semalam bahawa kerajaan akan mempertimbangkan pengenalan semula GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekiranya itu yang dimahukan rakyat.

“Saya fikir beliau (Dr Mahathir) hanya menjawab kepada media apa yang rakyat mahu, kami akan mempertimbangkannya tetapi pada pilihan raya lepas ia dibuat dengan jelas bahawa rakyat menolak GST 6%,” katanya.  

Lim berkata kerajaan telah berjaya menampung inflasi dan kos sara hidup selepas memansuhkan cukai.  

Beliau berkata ia terpulang kepada majlis presiden Pakatan Harapan untuk memutuskan sama ada kerajaan akan membawa semula cukai GST. 

“Majlis presiden PH yang akan memutuskannnya. Bukan saya seorang yang buat keputusan.  

“Sehingga keputusan itu dibuat, kita harus menghormati kehendak dan mandat rakyat ketika mereka mengundi PH pada pilihan raya umum lalu.  

“Salah satu rancangan kami adalah untuk memansuhkan GST. 

“Dan janji itu telah kami kotakan. Kami telah hapuskan GST dan faedahnya kami telah kawal inflasi,” katanya. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen