NETFLIX semalam berkata ia bekerjasama dalam siasatan sama ada gergasi media itu melakukan kesalahan mengelak cukai di Itali, walaupun tidak mempunyai pejabat atau kakitangan di negara itu.
Isu utama siasatan itu tertumpu sama ada “unit server” diletakkan di negara itu untuk membantu beban penyiaran syarikat berpengkalan di California cukup untuk membuatkannya mendapat status “syarikat” di mata agensi pengutip cukai Itali.
Netflix menyediakan komputer sebesar meja kecil untuk penyedia bekalan internet di Itali bagi mengurangkan tekanan data kerana programnya terhadap rangkaian internet.
“Netflix bekerja sama rapat dengan pihak berkuasa cukai Itali,” kata seorang jurucakap kepada AFP.
“Kami membayar semua cukai di Itali dan negara lain seluruh dunia.”
Netflix menganggap dirinya sebagai syarikat hiburan dan bukannya syarikat teknologi, berkata jutaan euro dilaburkan untuk operasi di Itali.
Netflix yang mula bertapak di Itali pada 2015 mempunyai 1.4 juta pengguna tahun lepas, menurut laman web teknologi Comparitech.
AFP tidak dapat mengesahkan sama ada siasatan itu berkaitan dengan polis kewangan atau pejabat pendakwa raya di Milan.
Pendakwa raya di bandar utara Itali itu menerajui beberapa siasatan terhadap syarikat gergasi AS, membolehkan kerajaan Itali mengutip jutaan euro.
Tahun lepas, Facebook bersetuju untuk membayar lebih 100 juta euro kepada Itali selepas siasatan.
Amazon juga membayar 100 juta euro pada 2017, sementara Google membayar 360 juta euro. Apple pula pada 2015 membayar lebih 300 juta euro. – AFP, 4 Oktober, 2019.
Komen