SEORANG lelaki Rusia memfailkan saman terhadap Apple mendakwa aplikasi iPhone menjejaskan moralnya dan mengubahnya menjadi gay, menurut salinan dokumen yang dilihat AFP.
Lelaki itu memfailkan saman itu di sebuah mahkamah di Moscow menuntut sejuta ruble (AS$15,000) selepas kejadian pada musim panas apabila mata wang digital dikenali sebagai “GayCoin” dihantar menerusi aplikasi telefon pintar itu, berbanding BitCoin yang dipesannya.
Peguamnya Sapizhat Gusnieva menegaskan kes itu adalah “serius”, memberitahu AFP yang anak guamnya “disakiti, menderita”.
Mata wang GayCoin dihantar dengan pesanan, “jangan hukum sebelum cuba”, menurut pengadu.
“Saya fikir, betul juga, bagaimana saya boleh hakimi sebelum mencuba? Saya putuskan untuk cuba hubungan sejenis,” tulis pengadu.
“Sekarang saya ada teman lelaki dan saya tidak tahu bagaimana hendak jelaskan kepada ibu bapa saya….hidup saya berubah menjadi buruk dan tidak akan normal lagi,” tambahnya.
“Apple menolak saya ke arah homoseksualiti menerusi manipulasi. Perubahan itu menjejaskan moral dan mental saya.”
Wakil Apple di Rusia masih belum menjawab permintaan komen AFP.
Gusnieva berkata gergasi teknologi AS itu “bertanggungjawab untuk program mereka” walaupun mendakwa berlaku melaksanakan pembaharuan kepada pengeluar aplikasi.
Saman itu difailkan pada 20 September dan mahkamah akan mendengar kes pada 17 Oktober, menurut maklumat di laman web mahkamah.
Homofobia tersebar luas di Rusia di mana pelbagai laporan pencabulan hak dan serangan ke atas LGBT sering berlaku, walaupun wujud komuniti gay yang besar di negara itu.
Pada 2013, Moscow memperkenalkan undang-undang menghalang “propaganda gay” yang meliputi “promosi gaya hidup tidak tradisional kepada kumpulan bawah umur” sekaligus mengharamkan aktivisme LGBT. – AFP, 4 Oktober, 2019.
Komen