SUKAN bola sepak Indonesia berkabung hari ini, apabila penjaga gol handalan Choirul Huda meninggal dunia selepas bertembung dengan rakan sepasukannya.
Choirul, 38, yang kerap bermain untuk kelab asalnya, Persela di Jawa Timur, rebah pada minit-minit akhir separuh masa pertama selepas bertembung dengan pemain tengah Ramon Rodrigues semalam.
Rakaman video menunjukkan bapa kepada dua anak itu memegang dada dalam kesakitan sebelum diusung keluar padang dan dibawa ke hospital. Doktor memberitahu dia mengalami serangan jantung dan meninggal dunia.
Pasukan perubatan cuba menyedarkannya semula dalam masa satu jam.
“Choirul Huda mengalami pelanggaran traumatik dengan rakan sepasukan yang menyebabkannya berhenti bernafas dan mengalami serangan jantung,” kata Yudistiro Andri Nugroho, seorang doktor dari Hospital Lamongan dalam satu kenyataan.
Nughoro berkata Choirul mengalami trauma di leher dan kepala akibat hentakan di dada dan rahang bawah.
Persela memberi penghormatan kepada Choirul yang telah bermain untuk pasukan itu lebih daripada 500 kali sejak 1999 dan menggelarkannya “The Real Legend” dalam posting di Twitter. – AFP, 16 Oktober, 2017.
Komen