UMNO menunda tarikh perhimpunan agung tahunan parti itu kepada 4 hingga 7 Disember bagi memberi tumpuan kepada PRK Tanjung Piai, kata Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata pindaan itu dibuat memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 November sebagai hari pengundian PRK berkenaan.
“Kami akan menentukan seluruh jentera Umno dan Barisan Nasional akan ditumpukan di Tanjung Piai,” kata Ahmad Zahid, kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 pada awalnya dijadualkan pada 13 hingga 16 November depan.
Parti komponen BN, MCA turut memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunannya yang dijadualkan pada 2 dan 3 November depan bagi menghadapi PRK itu.
Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata parti itu menangguhkan mesyuarat agung tahunan (AGM) kerana bertembung dengan tarikh hari penamaan calon PRK.
Beliau turut menambah parti itu menanggung kerugian kewangan serta membazirkan masa kerana pampasan dan peruntukan tambahan diperlukan bagi merancang AGM parti itu semula.
MCA berharap untuk bertanding di PRK Tanjung Piai yang dijadualkan berlangsung pada 16 November.
Kerusi itu menjadi kerusi tradisi ditandingi MCA namun parti itu tewas di tangan Bersatu dalam PRU14.
SPR menjelaskan tarikh berkenaan diputuskan selepas beberapa mempertimbangkan beberapa faktor dan menafikan pemilihannya memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, agensi itu tidak mempunyai niat untuk menyusahkan Umno atau MCA, yang akan mengadakan AGM parti semasa tempoh pilihan raya diadakan.– 3 Oktober, 2019.
Komen