Ahli politik korup mahu rosakkan nama ketua pesuruhjaya SPRM


Gan Pei Ling

Tunku Aziz berkata ia cubaan sengaja menjatuhkan kredibiliti Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkfli Ahmad, yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2017.

AHLI politik korup yang takut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dalang kepada usaha merosakkan nama ketua pesuruhjayanya, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tunku Aziz, lapor Berita Harian Online.

Tunku Aziz berkata ia cubaan sengaja menjatuhkan kredibiliti Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkfli Ahmad, yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

The Malaysian Insight telah menghubungi pegawai Dzulkifli tetapi belum mendapat maklum balas. SPRM sebelum ini menafikan dakwaan tersebut.

TMI sebelum ini melaporkan kesungguhan dan keghairahan Dzulkifli menangkap mereka yang didakwa menerima rasuah atau terlibat dalam penyelewengan terutamanya ahli politik kerajaan semakin kurang disenangi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). 

Sumber mengatakan mensyuarat Majlis Tertinggi Umno pada bulan lepas membincangkan beberapa kes dan tangkapan SPRM yang berprofil tinggi sejak beberapa minggu lepas sehinggakan anggotanya yang paling “lembut” pun mendesak tindakan diambil untuk menghentikan penguatkuasaan “agresif” itu.

Tunku Aziz memberitahu BH, Dzulkifli telah membawa banyak “jerung besar” ke muka pengadilan.

“Selama ini banyak pihak terutama pembangkang mengadu SPRM hanya tangkap ‘ikan bilis’ bukan ‘ikan jerung’. Tetapi di bawah Dzulkifli, SPRM tidak begitu. 

“Setiap hari, setiap minggu ada saja individu yang ditahan kerana korupsi dibawa ke muka pengadilan.

“Ramai ahli politik korup yang tak senang duduk, jadi mereka mahu jatuhkan beliau dengan persoalkan moral melalui skandal,” kata Tunku Aziz.

Wanita yang dikaitkan dengan Dzulkifli itu semalam berkata dia akan menanggung kesalahan namun tidak akan mendedahkan punca sebenar perceraiannya.

Dia memohon maaf kepada Dzulkifli dan keluarganya secara terbuka di Facebook.

Wanita itu berkata dia tertekan untuk membersihkan namanya selepas video berdurasi hampir tiga minit membabitkan hubungan sulit dirinya dan Dzulkifli viral di media sosial baru-baru ini.

Video yang berdurasi hampir tiga minit itu mendakwa yang wanita dan suaminya yang baru sahaja bercerai pada 28 September di Mahkamah Rendah Syariah Ulu Klang berpunca daripada kecurangan si isteri.

Ia menunjukkan beberapa keping gambar wanita itu yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang lelaki yang dikatakan pegawai SPRM. Beberapa gambar dalam video itu termasuklah gambar wanita itu bersama keluarganya termasuklah dua anak mereka yang masih kecil

Video itu turut meletakkan beberapa kepingan klip video lama seorang pegawai kanan SPRM. Dalam satu klip video itu, pegawai itu bercakap dengan lelaki dan wanita yang pegangan agama dianggap sesat dan tidak mahu bertaubat. Sebuah lagi klip menunjukkan pegawai itu mendeklamasikan sajak berkaitan integriti.

Pertanyaan dan kenyataan yang ditujukan kepada pegawai SPRM terbabit juga dimasukkan antara klip dan gambar dalam video itu, seperti “bagaimana anda boleh musnahkan keluarga ini?” dan “Tak kesian ke pada anak-anak mereka?”

Pada Ahad lalu, seorang pegawai pemasaran berusia 37 tahun di Kuala Lumpur membuat laporan polis di Sentul selepas melihat video itu.

Beliau menggesa polis menyiasat sama ada dakwaan melibatkan pegawai atasan SPRM itu adalah benar dan mengambil tindakan selanjutnya.

Mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin merupakan satu kesalahan di Malaysia di bawah Seksyen 498 kanun Keseksaan dengan hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Tuduhan itu berlaku di ketika SPRM giat menahan beberapa ahli politik dan penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat dengan rasuah. – 16 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen