ARTIS terkenal Bjork turut mendakwa beliau pernah menerima gangguan seksual oleh seorang pengarah filem.
Kenyataan beliau itu dibuat berikutan pelbagai tuduhan terhadap penerbit Amerika Harvey Weinstein.
Dalam tulisannya di Facebook, penyanyi itu berkata dia “sedar” bahawa “ia adalah hal biasa seorang pegarah untuk menyentuh dan membuat gangguan terhadap pelakonnya, malah institusi perfileman turut membenarkan perkara itu”.
Bagaimanapun, pemuzik berusia 51 tahun itu yang juga pernah menerajui kugiran post-punk The Sugarcubes itu tidak pula menamakan pengarah filem yang didakwanya itu.
Bjork mendakwa perbuatan pengarah itu “disokong oleh staf… dan digalakkan” perbuatannya.
“Bila berterusan saya menolak perbuatan pengarah itu, ‘dia pula merajuk dan mendenda saya dan menggambarkan saya sebagai seorang yang menyusahkan’,” katanya.
Bjork berkata beliau berjaya lari dari insiden itu tanpa menggugat kerjayanya kerana beliau “tidak memasang azam dalam dunia lakonan” tetapi dalam masa sama beliau risau terhadap pelakon wanita lain.
Penyanyi “Venus as a Boy” dan “Human Behaviour” yang kerjayanya telah mencapai empat dekad menambah beliau terinspirasi untuk bersuara “disebabkan wanita-wanita yang berani bersuara di dalam talian” mengenai gangguan seksual.
Dalam kejadian lain berkaitan Weinstein, pelbagai dakwaan timbul sejak laporan dari The New York Times yang mendakwa kelakuan penerbit itu yang bermula sejak sedekad lalu. – AFP, 16 Oktober, 2017.
Komen