Pasukan payung terjun AS cedera ketika latihan malam


Terdapat 84 tentera yang melakukan terjunan dalam latihan itu, namun hanya 75 daripada mereka selamat mendarat, lapor CNN. – Gambar AFP, 3 Oktober, 2019.

BEBERAPA anggota pasukan payung terjun Amerika Syarikat cedera ketika melakukan terjunan sewaktu latihan malam di Mississippi, lapor media tempatan.

Tentera daripada Briged Infantri ke-4 Bahagian Infantri ke-25 mengadakan terjunan pada waktu malam di Kem Shelby namun angin kencang menyebabkan mereka melencong dari sasaran pendaratan menyebabkan mereka melanggar pokok, kata komander kem itu, Kolonel Bobby Ginn.

Sekurang-kurangnya empat anggota dibawa ke hospital Hattiesburg setelah mereka tersasar dari kawasan pendaratan mereka, kata CNN, namun 13 anggota lagi masih tersangkut di atas pokok.

“Kami tidak mempunyai angka penuh anggota yang cedera atau tahap kecederaan mereka ketika ini, namun tidak ada kecederaan yang mengancam nyawa dilaporkan buat masa sekarang,” kata jurucakap Kem Shelby, Daniel Szarek.

Terdapat 84 tentera yang melakukan terjunan dalam latihan itu, namun hanya 75 daripada mereka selamat mendarat, lapor CNN.

“Apabila semua askar selamat, kami akan teruskan latihan,” kata Briged ke-4 dalam hantaran Facebook.

Latihan itu adalah sebahagian daripada “Operasi Arktik Anvil”, yang merupakan permulaan kursus sepuluh hari, melibatkan 650 anggota.

“Operasi Udara semuanya mempunyai risiko,” kata kenyataan itu. “Kami berusaha untuk mengurangkan risiko itu sebanyak mungkin.” – AFP, 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen