SEKURANG-kurangnya sembilan orang terbunuh dan beberapa lagi hilang selepas Taufan Mitag melanda Korea Selatan dengan hujan lebat dan angin kencang, kata pihak berkuasa pada hari Khamis.
Badai melanda bahagian selatan negara itu pada malam Rabu, menyebabkan banjir dan tanah runtuh berlaku di kawasan yang terjejas.
Seramai sembilan orang terbunuh di seluruh negara dilaporkan pada petang Khamis, kata Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan, namun bilangan mangsa dijangka akan meningkat.
Seorang wanita berusia 60-an ditemui mati selepas rumahnya ditenggelami tanah runtuh di bandar pelabuhan selatan Busan dan kira-kira 600 penyelamat cuba mencari tiga yang lain yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan tersebut.
Salah seorang mangsa, Park Young-hak berada di dalam garaj ketika tanah runtuh berlaku, beliau melarikan diri setelah mendengar “guruh” yang kuat.
“Apabila saya berlari untuk melihat apa yang berlaku itu rumah jiran saya sudah pun hilang,” kata Park kepada AFP.
Lebih 1,000 rumah rosak dan 1,500 orang telah dipindahkan dari rumah mereka, kata pihak kementerian.
Mitag adalah taufan ke-18 tahun ini dan ketujuh melanda semenanjung Korea. – AFP, 3 Oktober, 2019.
Komen