DUA pemimpin tertinggi kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) terbunuh dalam pertempuran terbaru tengah malam Isnin di bandar Marawi, selatan Filipina, lapor portal berita rappler.com.
Pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon dan ketua Kumpulan Maute, Omar Maute terbunuh ketika misi menyelamat tahanan dilakukan tentera negara itu. Kematian mereka disahkan oleh Setiausaha Pertahanan Filipina, Deflin Lorenza.
Hapilon adalah “amir” IS di Asia Tenggara. Tahun lepas, dia menyertai Kumpulan Maute yang diterajui Omar Maute dan adiknya Abdullah.
Tentera dijangka menjalankan operasi ketenteraan bagi menghapuskan saki baki pengganas dan menghapuskan bahan letupan buatan sendiri di kawasan itu.
Undang-undang darurat yang dikuatkuasakan sejak 23 Mei lalu masih dikekalkan walaupun dua pemimpin utama itu sudah terbunuh, kata Lorenzana lagi seperti dipetik rappler.com.
Pertempuran militan dengan tentera Filipina tercetus sejak 25 Mei lalu sudah menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh. – 16 Oktober, 2017.
Komen