AS 'buat masa ini' mungkin kekal dalam perjanjian nuklear Iran


Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilihat akan mempertimbangkan langkah yang setimpal dengan tindak balas Tehran. – Gambar AFP, 16 Oktober, 2017.

AMERIKA Syarikat (AS) pada masa ini, dijangka akan kekal dalam perjanjian nuklear Iran, kata Duta Besar AS ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley pada Ahad.

Memetik media tempatan, agensi berita China Xinhua berkata, pentadbiran Presiden AS Donald Trump dilihat akan mempertimbangkan langkah yang setimpal dengan tindak balas Tehran.

“Saya fikir buat masa ini kita akan lihat AS kekal dalam perjanjian itu, kerana apa yang diharapkan dan matlamatnya ialah untuk memperbaiki keadaan,” kata Haley.

Perjanjian nuklear itu, dipersetujui pada Julai 2015 antara Iran dengan negara kuasa dunia iaitu Britain, China, Perancis, Rusia, AS serta Jerman.

Perjanjian nuklear Iran atau secara rasmi dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), semua sekatan berkaitan nuklear yang dikenakan ke atas Iran ditarik balik jika negara itu terbukti mematuhi perjanjian dalam tempoh beberapa tahun akan datang. – Bernama, 16 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen