PERBADANAN Minyak Negara (NOC) Libya pada Rabu memberi amaran pengeluaran minyak bakal menyaksikan penurunan dalam tempoh sembilan bulan akan datang andai kerajaan terus menyekat bajet yang diluluskan,lapor agensi berita Xinhua.
“Jika peruntukan untuk perbadanan itu lewat dikeluarkan, pengeluaran minyak Libya yang selama ini sebanyak ratusan ribu tong sehari akan lebih rendah berbanding sepatutnya.
“Ia akan memberi kesan negatif terhadap pendapatan negara,” kata Pengerusi NOC Mustafa Sanalla dalam satu kenyataan.
Sektor minyak yang merupakan sumber utama pendapatan negara terjejas teruk akibat serangan keganasan di loji minyak dan pelabuhannya.
Libya terjerumus ke dalam kancah keganasan dan ketidakstabilan politik sejak kejatuhan kerajaan Muammar Gaddafi pada 2011.
Sejak awal April, kerajaan di Tripoli terlibat dalam konflik bersenjata bagi memerangi tentera pemberontak yang berpangkalan di timur, yang cuba mengambil alih bandar dan menggulingkan kerajaan. – Bernama, 3 Oktober, 2019.
Komen