NAIB Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menolak cakap-cakap bahawa beliau akan bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai.
Bekas menteri besar Johor itu berkata, pemimpin tempatan dari kawasan Tanjung Piai lebih wajar diangkat sebagai calon, lapor Berita Harian.
“Itu spekulasi orang, saya sendiri berpendapat patut orang tempatan (Tanjung Piai) bertanding,” kata beliau seperti dipetik dalam laporan itu.
Ditanya mengenai pendirian MCA yang mahu terus bertanding di Tanjung Piai, Khaled juga berkata Barisan Nasional (BN) akan memutuskan perkara itu secara konsensus.
Khaled yang kalah di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dun Permas sewaktu menjadi menteri besar mengulas laporan mencadangkan beliau akan kembali bertanding,
Antaranya, portal Free Malaysia Today yang menyebut Khaled mendapat mandat daripada pemimpin tertinggi Umno untuk mewakili BN di kerusi tersebut.
Ia turut mengaitkan pendirian 88 pemimpin Umno cawangan yang meluluskan resolusi agar BN memilih calon Umno untuk bertanding di kerusi tersebut.
Kerusi Pasir Gudang yang mempunyai 42% pengundi Cina ditandingi MCA secara tradisi namun gagal dipertahankan parti itu dalam PRU14.
Pemimpin Bersatu, Dr Md Farik Md Rafik merampas kerusi majoriti Melayu itu dengan kemenangan tipis undi menewaskan calon MCA, Wee Jeck Seng dan PAS Nordin Othman.
Kerusi itu kosong ekoran kematian Dr Md Farik pada 21 September lalu akibat serangan jantung.
PRK Tanjung Piai akan berlangsung pada 16 November. – 3 Oktober, 2019.
Komen