SEORANG bekas anggota polis Texas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun semalam kerana membunuh jirannya pada 2018 dengan menembaknya selepas tersilap masuk rumah ketika tidak bertugas.
Juri Dallas boleh menjatuhkan hukuman penjara antara lima hingga 99 tahun kepas Amber Guyger, 31, kerana membunuh Botham Jean, 26, yang bekerja dengan sebuah firma perakuanan.
Guyger yang berkulit putih mendakwa dia ingat Jean, seorang kulit hitam, menceroboh masuk apartmentnya.
Hakikatnya, dia yang masuk apartmen Jean yang tidak berkunci, terletak dalam bangunan sama tetapi berbeza tingkat.
Kejadian itu mencetuskan bantahan besar-besaran supaya badan kehakiman bertindak kerana kes pegawai kulit putih yang menembak mati individu kulit hitam seringkali dibebaskan.
Pada malam kejadian, Guyger masih memakai uniform polisnya selepas bekerja hampir 14 jam.
Jean yang tidak bersenjata sedang berehat di rumahnya, bernombor 1478. Guyger tinggal di 1378.
Peguam Guyger memberitahu mahkamah yang anak guamnya melakukan “kesilapan tragis” tetapi “tidak jahat”.
“Saya mohon keampunan Tuhan setiap masa dan saya benci diri sendiri setiap hari,” kata Guyger ketika perbicaraan bermula September lalu.
“Saya tak pernah mahu ambil nyawa orang tak bersalah.”
Tetapi, pendakwa raya berhujah dia terlepas beberapa peluang untuk menyedari yang dia berada di rumah salah dan sepatutnya memanggil bantuan.
Mereka meminta hukuman penjara 18 tahun selepas Guyger disabitkan bersalah semalam.
Juri diberi pilihan pendakwaan sabitan bersalah Guyger untuk pertuduhan lebih ringan iaitu menyebabkan kematian tetapi memilih untuk meneruskan pertuduhan bunuh selepas bantahan besar-besaran yang berlaku. – AFP, 3 Oktober, 2019.
Komen