Pesawat antik terhempas di AS, 7 dilapor maut


Pesawat Boeing B-17 yang digunakan tentera udara AS melawan Jerman dan Jepun terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bradley ketika cuba mendarat sekitar jam 10 pagi waktu tempatan. – Gambar AFP, 3 Oktober, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA tujuh orang terbunuh apabila sebuah pesawat Perang Dunia ke-2 membawa 13 penumpang dan anak kapal terhempas di sebuah lapangan terbang di Connecticut, AS semalam, lapor media tempatan.

Pesawat Boeing B-17 yang digunakan tentera udara AS melawan Jerman dan Jepun terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bradley ketika cuba mendarat sekitar jam 10 pagi waktu tempatan.

Sepuluh penumpang dan tiga anak kapal berada dalam pesawat itu, yang dikendalikan oleh Yayasan Collings, sebuah kumpulan mengumpulkan peminat kapal terbang yang membayar untuk merasai pengalaman menaiki pesawat antik, kata pegawai.

James Rovella, pegawai kecemasan Connecticut memberitahu media yang jumlah kematian mungkin bertambah tetapi masih terlalu awal untuk mengeluarkan angka rasmi kematian.

“Mangsa hangus terbakar susah dikenal pasti. Kami tak mahu buat silap,” katanya.

Seorang pekerja lapangan terbang turut cedera, tambah Rovella.

Media tempatan memetik kenyataan pegawai bahawa tujuh orang maut dan sembilan cedera termasuk tiga orang yang berada di landasan.

Sepuluh minit selepas berlepas pada jam 9.45 pagi, juruterbang membuat panggilan kecemasan memaklumkan pesawat berdepan masalah teknikal, kata Kevin Dillon, pengarah lapangan terbang.

Jurucakap Hospital Hartford terletak 25 kilometer dari lapangan terbang, memberitahu AFP, hospital itu menerima enam pesakit, tiga daripadanya parah.

Punca kemalangan masih disiasat.

Gambar tersebar di media sosial dan diterbitkan media AS menunjukkan asap tebal di kawasan pesawat terhempas.

Lapangan terbang ditutup beberapa jam kerana kejadian itu sebelum dibuka semula untuk operasi. – Gambar AFP, 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen