PEGAWAI Colombia mengarahkan siasatan dijalankan selepas seorang bekas senator yang sedang menjalani hukuman penjara di Bogota melarikan diri ketika sesi pertemuan dengan doktor gigi.
Aida Merlano berjaya memperdaya pengawal, memanjat tingkap, menggunakan tali ke bawah laluan pejalan kaki sebelum menaiki motosikal yang menunggunya.
Rakaman video menunjukkan dia melarikan diri itu yang dirakam kamera keselamatan tular di media sosial.
Merlano yang berasal dari Barranquilla, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun pada September kerana membeli undi pada pilihan raya 2018 untuk dipilih sebagai senator daripada Parti Konservatif.
Menteri Kehakiman Margarita Cabello memecat ketua penjara wanita Bogota, tempat Merlano ditahan dan membenarkan lawatan kesihatan itu dibuat.
Cabello juga meminta perletakan jawatan William Ruiz, ketua penjara Colombia.
Lapan kakitangan penjara juga digantung tugas sementara menanti siasatan.
Ruiz juga menawarkan ganjaran 50 juta peso (AS$14,000) untuk maklumat sehingga tertangkapnya Merlano.
Kejadian melarikan diri selalu berlaku di Colombia.
Kejadian paling terkenal berlaku pada 1992, apabila taikun dadah Pablo Escobar dan 12 orang suruhannya melarikan diri dari La Catedral, penjara yang dibina dengan bantuannya.
Bagaimanapun, tidak sampai 18 bulan selepas itu Escobar ditembak mati polis di rumahnya di Medellin. – AFP, 3 Oktober, 2019.
Komen