.jpg)
HIMPUNAN “Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” yang berlangsung Sabtu lalu hanya berjaya mengumpulkan seramai 4,000 orang menurut laporan polis. Laporan dari beberapa media pula menganggarkan kehadiran adalah kurang dari 10,000 orang. Jauh daripada sasaran penganjur iaitu 100,000 orang.
Himpunan telah diadakan di Petaling Jaya, negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau menurut Menteri Besar, Azmin Ali, masih di bawah Pakatan Rakyat kerana PAS masih lagi bersama kerajaan negeri.
Tetapi, jumlah kehadiran yang jauh daripada sasaran telah secara jelas memalukan PH. Masakan tidak, menteri besar Selangor adalah Azmin iaitu timbalan presiden PKR. Salah seorang exco kerajaan negeri iaitu Nik Nazmi (Nik Ahmad) adalah ketua Angkatan Muda (Pemuda) PKR, salah satu penganjur utama perhimpunan ini iaitu Pemuda Pakatan Harapan.
Azmin sebagai pengerusi Pakatan Harapan negeri Selangor seharusnya malu dengan angka ini. Jika diikutkan logik dari keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, dua kerusi Parlimen Petaling Jaya iaitu PJS (Petaling Jaya Selatan) dan PJU (Petaling Jaya Utara) merekodkan jumlah kemenangan parti di bawah PH dengan majoriti sebanyak lebih 60 ribu.
Jumlah majoriti di Petaling Jaya ini sahaja sudah boleh memenuhi 60% sasaran mereka. Tetapi Azmin gagal menterjemahkan angka ini.
Manakala sebagai ketua Pemuda PKR pula, Nik Nazmi seharusnya mencermin muka dengan kepimpinannya. Kehadiran golongan muda yang sangat kecil telah membuktikan Nik Nazmi sememangnya tiada pengaruh bukan sahaja dalam kalangan rakyat malah ahli AMK itu sediri.
Nik Nazmi perlu sedar, semua perhimpunan pembangkang sebelum ini digerakkan oleh golongan muda. Kelibat penggerak golongan muda dalam perhimpunan sebelum ini juga langsung tidak kelihat.
Tidak hairanlah jika sebelum ini Nik Nazmi hanya mampu berucap di hadapan ribuan kerusi kosong ketika kongres sayap yang diketuainya.
Apa yang pasti, PH tentu merindukan PAS, parti yang ditalakkan mereka.
Bak kata pesuruhjaya PAS Selangor, “itulah gambaran awal sokongan rakyat terhadap Pakatan. Sepatutnya semakin dekat dengan pilihan raya, mood untuk berhimpun lebih tinggi, namun saya boleh simpulkan hanya setakat itu sahaja kolaborasi yang boleh ditunjukkan rakyat terhadap Pakatan”. – 16 Oktober, 2017.
* Budiman Mohd Zohdi, ahli Parlimen Sungai Besar dan ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen