Trump nafi cadang guna buaya halang pendatang rentas sempadan


Donald Trump menafikan beliau mencadangkan penggunaan haiwan liar termasuk buaya dan ular di sempadan negara itu. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2019.

PRESIDEN Donald Trump semalam menafikan laporan media AS yang beliau mencadangkan beberapa tindakan pencegahan melampau, termasuklah parit berisi buaya untuk menghalang kemasukan pendatang di sempadan Mexico.

“Media cuba jual fakta yang saya mahukan parit dipenuhi buaya dan ular, dengan pagar elektrik dan cerucuk tajam, di sempadan selatan negara kita,” tulis Trump di Twitternya.

“Saya mungkin tegas tentang keselamatan sempadan, tetapi tidaklah setegas itu. Media sudah gila. Berita palsu!” tulisnya.

Beliau mengulas laporan akhbar New York Times tentang kekecewaannya terhadap undang-undang yang menyekat usahanya untuk menghalang kemasukan pendatang.

Trump, lapor Times, membincankan potensi penggunaan haiwan liar dan cerucuk tajam. Beliau juga dilaporkan mencadangkan supaya tentera dibenarkan menembak pendatang di kaki selepas diberitahu pihak penguatkuasaan sempadan tidak dibenarkan menggunakan kekerasan.

Trump menggunakan isu mengekang kemasukan pendatang haram dan dengan izin sebagai salah sebuah janjinya ketika bertanding merebut jawatan presiden.

Jumlah kemasukan pendatang di sempadan Mexico turun mendadak sejak beliau mentadbir. – AFP, 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen