PRESIDEN Iraq dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pasukan keselamatan untuk meningkatkan kawalan keselamatan pada hari Rabu selepas dua penunjuk perasaan terbunuh dalam pertempuran dengan pihak polis.
Ratusan orang turun ke jalan raya di ibukota dan bandar-bandar di selatan Iraq pada hari Selasa dalam himpunan bantahan pertama terhadap kerajaan yang dibentuk setahun lalu.
Pasukan keselamatan menembak gas pemedih mata dan tembakan peluru hidup bagi menyuraikan orang ramai, menyebabkan seorang mati dan 200 lain cedera di Baghdad sementara seorang lagi cedera mati di selatan bandar itu, kata pegawai kesihatan.
Keganasan itu dikecam Presiden Barham Saleh, yang menggesa “kawalan ditingkatkan dan semua warga menghormati undang-undang”.
“Bantahan damai adalah hak perlembagaan rakyat,” katanya pada Selasa.
Sementara itu, pegawai tertinggi PBB di Iraq, Jeanine Hennis-Plasschaert, menyatakan “kebimbangan serius” pada hari Rabu, mengatakan beliau “sangat menyesali mangsa-mangsa yang terbunuh”.
Beliau menggesa pihak berkuasa untuk “menjalankan kawalan dalam pengendalian himpunan bantahan”.
Para penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di tengah-tengah Baghdad menyuarakan pelbagai keluhan - isu rasuah dalam negara, kegagalan perkhidmatan awam, pengangguran dan juga pengetepian jeneral yang popular di Iraq minggu lepas.
Tidak seperti kebiasaannya, tiada parti politik secara terang-terangan menyeru protes yang kelihatan berlaku secara spontan.
Menjelang petang himpunan itu, ia menjadi tidak terkawal dan ganas, apabila polis rusuhan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air dan kemudian menembak peluru hidup dan getah untuk menyuraikan orang ramai.
Tembakan dapat didengari di sekitar Dataran Tahrir. Tidak jelas jika peluru ditembak ke arah penunjuk perasaan atau ke udara.
Pada hari Rabu, Dataran Tahrir terus dipenuhi kehadiran ramai anggota polis.
Parlimen telah memerintahkan siasatan terhadap keganasan yang berlaku. Jawatankuasa hak asasi manusia turut mengkritik pasukan keselamatan kerana “penindasan” terhadap himpunan tersebut.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Saad Maan memberitahu media negara pada hari Selasa bahawa “penyusup adalah dalang tindakan ganas dalam protes hari ini.”
Kenyataannya mendapat kritikan dalam talian secara meluas, memandangkan beberapa ahli politik lain menunjukkan sokongan terhadap penunjuk perasaan. – AFP, 2 Oktober, 2019.
Komen