Di Kanada, dron langgar pesawat komersial


SEBUAH pesawat komersial Kanada mendarat dengan selamat selepas terlanggar dron, kes pertama di negara itu, kata seorang menteri kabinet pada Ahad.

Dengan peningkatan jumlah pesawat kecil tidak dipantau itu di langit, pelanggaran masih jarang berlaku, tetapi pihak berkuasa di seluruh dunia sedang mencari jalan untuk mengelakkan pelanggaran berlaku.

Kejadian di Kanada itu berlaku Khamis lepas apabila sebuah dron melanggar pesawat Skyjet yang sedang menghampiri Lapangan Terbang Jean-Lesage di Quebec, kata Menteri Pengangkutan Marc Garneau dalam satu kenyataan.

“Ini adalah kali pertama sebuah dron melanggar pesawat komersial di Kanada dan saya berasa amat lega kerana pesawat itu hanya rosak kecil dan berjaya mendarat dengan selamat,” kata menteri itu yang merupakan bekas angkasawan.

Pesawat itu yang membawa enam penumpang dan dua anak kapal itu dilanggar di sayap kanan pada ketinggian 450 meteri dan ketika berada tiga kilometer dari lapangan terbang, menurut akhbar Le Journal de Quebec.

Garneau mengingatkan pengendali dron yang sesiapa didapati bersalah membahayakan keselamatan pesawatan boleh didenda sehingga 25,000 dolar Kanada (AS$20,051), penjara atau kedua-duanya.

Peraturan Kanada mengharamkan penerbangan dron komersial di atas ketinggian 90 meter dan kurang 5.5 km jaraknya dari lapangan terbang.

Tetapi Garneau berkata tahun ini sahaja terdapat 131 kejadian dron yang “menimbulkan kebimbangan keselamatan penerbangan.”

Di bawah peraturan yang akan dilaksanakan, pengendali dron diperlukan lulus ujian selain menyenaraikan nama dan alamat mereka. Umur minimum juga akan diperkenalkan untuk dron saiz tertentu.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang menetapkan piawaian global industri penerbangan mengatakan terdapat 856 kes antara Januari 2013 dan Ogos 2015 dron terbang terlalu rapat dengan pesawat. – AFP, 16 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen