NAIB Presiden Peru Mercedes Araoz yang dilantik sebagai presiden sementara mengumumkan peletakan jawatannya hari ini dan menggesa pilihan raya umum diadakan secepat mungkin, lapor agensi berita Sputnik
Beliau dilantik menggantikan Presiden Martin Vizcarra yang mengisytiharkan dirinya tidak lagi sesuai untuk terus mentadbir negara.
“Saya mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai naib presiden…Sebab utama kerana saya mendapati perlembagaan negara telah dicabuli. Saya jangka peletakan jawatan akan mendorong kepada pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat untuk manfaat negara,” tulis Araoz dalam ciapannya.
Araoz berkata ini bermakna, beliau turut meletakkan jawatan sebagai presiden sementara.
“Saya percaya tiada syarat minimum untuk memenuhi kewajipan yang dipertanggungjawab oleh Kongres kepada saya,” tambah Araoz.
Tegasnya, beliau sentiasa mengutamakan undang-undang dan prinsipnya sendiri, bukan kepentingan peribadi atau populariti.
Pilihan raya umum dijadual pada 26 Januari 2020.
Pada Isnin, Vizcarra membubarkan Kongres yang dikuasai pembangkang selepas ahli parlimen memboikot permintaannya untuk melakukan pembaharuan Tribunal Perlembagaan dan memilih ahli baharu, dilaporkan saudara kepada presiden Kongres.
Vizcarra menyifatkan langkah itu sebagai usul tidak percaya dan seterusnya bertindak membubarkan parlimen, dengan mengisytiharkan beliau tidak sesuai untuk mentadbir dan melantik Araoz sebagai presiden sementara. – Bernama, 2 Oktober, 2019.
Komen