Singapura kuatkuasa undang-undang berita palsu hari ini


Aktivis hak asasi di Singapura menyifatkannya undang-undang itu sebagai satu cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara di republik itu. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2019.

SINGAPURA hari ini menguatkuasa undang-undang baharu bagi mengekang berita palsu, walaupun dibantah aktivis dan syarikat teknologi yang menyifatkannya sebagai satu cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Dengan akta baharu itu, menteri diberi kuasa untuk mengarahkan laman media sosial memberi amaran sebarang hantaran yang disifatkan palsu. Laman media sosial juga perlu menurunkan hantaran yang dianggap keterlaluan sekiranya perlu.

Ibu pejabat Facebook, Twitter dan Google bagi Asia di Singapura diberi kelonggaran sementara bagi beberapa peruntukan dalam akta tersebut untuk melakukan pengubahasuaian.

Mana-mana syarikat yang didapati bersalah berniat jahat dan menjejaskan kepentingan negaraboleh didenda sehingga SG$1 juta, manakala individu yang bersalah boleh dihukum penjaran maksimum 10 tahun.

Pihak berkuasa Singapura menegaskan tindakan tegas itu perlu diambil untuk menyekat penyebaran berita palsu yang boleh memecahbelahkan rakyat dan menjejaskan kepercayaan kepada institusi kerajaan.

Kumpulan aktivis hak asasi manusia mengkritik langkah kerajaan Singapura, bimbang undang-undang tersebut menyekat perbincangan dalam talian serta kebebasan kepada syarikat teknologi dan organisasi media. – AFP, 2 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen