AGENSI pelancongan bakal rugi sedikit susulan peraturan baharu kerajaan Arab Saudi yang kini membenarkan pelancong memohon visa secara dalam talian, kata Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh).
Kerugian itu bagaimanapun tidak terlalu besar kalau dibandingkan dengan manfaatnya yang lebih menyeluruh iaitu menangani masalah penipuan visa umrah dan haji, kata presidennya Razali Mohd Shah.
“Memang kita tidak tolak kemungkinan sudah tentu akan jejaskan perniagaan tapi kerugian dalam 10% itu tidaklah terlalu besar.
“Bagi Papuh kita anggap peraturan ini satu rahmat. Kita sudah lama perjuangkan dan bila ia terlaksana kita anggap ia satu perkara baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mulai minggu lalu, Malaysia antara 49 negara yang diberi kelonggaran syarat visa untuk ke Arab Saudi, susulan langkah negara itu cuba meningkatkan sumber pendapatan pelancongan dan mengurangkan pergantungannya kepada hasil minyak.
Pelancong dari 49 negara terlibat juga boleh memohon visa dari mana-mana kedutaan atau pejabat konsul Arab Saudi di serata dunia.
Menurut Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH), visa itu dikenakan bayaran SR440 (RM491) termasuk SR140 (RM156) untuk insurans perubatan yang memberi perlindungan bernilai SR100,000 (RM112,000).
Dalam pada itu, Razali mengakui tidak semua agensi pelancongan menyokong dasar baharu tersebut kerana wujud kebimbangan ia boleh menjejaskan perniagaan mereka.
Namun katanya Papuh tetap bertegas dasar baharu itu perlu memandangkan sistem permohonan visa sebelum ini dimonopoli pihak tertentu.
“Apabila ada monopoli maka sebab itu banyak berlaku kes penipuan visa, sebab untuk keluarkan visa kita hanya boleh pohon pada agensi yang dilantik kerajaan Arab Saudi.
“Jumlah agensi di Malaysia tidak banyak, jadi disebabkan itu maka wujudlah penipuan visa kerana banyak orang tengah yang terlibat,” katanya.

Ada 60 ejen muassasah atau badan yang menguruskan hal ehwal jemaah, yang diluluskan oleh Lembaga Haji Arab Saudi bagi memproses permohonan visa di Malaysia, manakala lebih kurang 100 agensi pelancongan berdaftar yang menawarkan pakej umrah dan haji.
Menurut Razali, dasar lama Arab Saudi memerlukan pemohon membayar antara RM200 ke RM250 kepada agensi pelancongan sebagai caj proses memohon visa umrah.
“Dengan dasar baru ini jemaah tidak akan dikenakan caj proses visa dan tempoh kelulusan juga tidak lama. Tapi kalau dasar lama ia boleh makan masa seminggu atau dua minggu,” katanya.
Razali juga berkata Papuh memahami kebimbangan agensi pelancongan terhadap pelaksanaan dasar baharu dan menasihati supaya mereka supaya bersaing menawarkan pakej lebih menarik.
“Sebenarnya mereka tidak perlu bimbang sangat. Pergi umrah atau haji bukanlah seperti melancong di Eropah, yang kita boleh pergi sendiri.
“Rata-rata yang pergi umrah atau haji ini mereka lebih suka berkumpulan, dan biasa kalau pakej dalam kumpulan ini harga akan lebih murah dan jemaah akan dapat jimat banyak berbanding dia buat sendiri.
“Jadi agensi pelancongan tidak perlu bimbang kalau kata periuk nasi mereka terjejas kerana dasar tersebut,” katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri Rahman Talib, 62, dan Aminah Hasan, 61, yang akan mengerjakan umrah pada November ini menyambut baik peraturan itu, namun tetap memilih pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan.
“Kalau yang muda-muda mungkin bolehlah (pergi sendiri), tapi kalau berusia seperti kami lebih senang guna agensi pelancongan saja.
“Lagipun kalau pertama kali pergi umrah, biasanya lebih senang dengan pakej kerana ada jurupandu. Kalau yang pergi sendiri, susah, siapa yang akan tolong kita nanti,” kata Rahman.
Rahman dan isteri membayar masing-masing lebih kurang RM8,000 untuk pakej umrah yang merangkumi tiket penerbangan pergi balik, makan minum, urusan visa, hotel, dan jurupandu.
Bagaimanapun Rahman berkata sebenarnya agak sukar mencari ejen pelancongan yang boleh dipercayai kerana mereka pernah ada pengalaman hampir ditipu.
“Kami pun hampir ditipu, tapi nasib baik saya sedar ada tidak kena. Iyalah, belum apa-apa lagi mereka (agensi) desak saya bayar habis semua pakej, kalau biasanya kita akan letak wang pendahuluan dulu,” katanya.
Sementara itu, Rashid Ali, 42, menyambut baik kelonggaran yang diperkenalkan oleh Arab Saudi dan memilih memohon visa sendiri sekiranya berpeluang mengerjakan Umrah buat kali kedua.
Dasar baharu visa Arab Saudi itu akan memberikan penjimatan yang lebih banyak, kata pekerja swasta itu yang pernah mengerjakan umrah pada tahun lepas.
“Bagi saya pakej umrah ini sebenarnya agak mahal, tapi ia bergantung juga kalau ramai mungkin berbaloi, tapi kalau yang pergi tak ramai lebih baik kita uruskan semuanya,” katanya. – 2 Oktober, 2019.
Komen