Jangan politikkan dividen LTAT, kata Patriot


Chan Kok Leong

Brigadier-General (Rtd) Mohamed Arshad Raji berkata Barisan Nasional tidak seharusnya mempolitikkan dividen 2% LTAT kepada anggota. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2019.

KEPUTUSAN Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk membayar dividen 2% kepada anggotanya tidak seharusnya dipolitikkan oleh Barisan Nasional yang menyebabkan masalah itu pada mulanya, kata Brigadier-General (Rtd) Mohamed Arshad Raji.

Presiden Persatuan Patriot Nasional berkata, bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas menteri pertahanan Hishamuddin Hussein telah mengkritik kerajaan Pakatan Harapan di atas prestasi buruk LTAT.

Arshad berkata, juruaudit Messrs Ernnst & Young dalam laporan auditnya 2017-2018 mengenai LTAT mendapati transaksi masa lalu mengandungi potensi penyelewengan dan kelemahan dalam bidang operasi, perakaunan dan undang-undang.

Beliau berkata terdapat tujuh penemuan penting mengenai ketidakpatuhan kewangan dan kelemahan dalam laporan itu.

“Di antara tujuh penemuan berkenaan, dua adalah kecuaian serius dan tidak kompeten daripada mereka sebelum ini termasuk bekas perdana menteri dan menteri pertahanan.

“Yang pertama ialah lebihan dividen daripada tahun kewangan 2014 (TK2014) hingga TK2018 dan ini telah menjejaskan pendapatan tertahan. Pulangan aset lima tahun lebih rendah daripada kadar dividen yang diisytiharkan dan menyebabkan LTAT membayar dividen pada kadar yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya,” katanya.

Najib baru-baru ini mendakwa bahawa “kerajaan malu untuk mendedahkan sebab utama di sebalik dividen 2% LTAT”.

Beliau seterusnya berkata, di bawah kerajaan BN purata dividen itu ialah 14.1% yang dicatatkan dari 2009 hingga 2017. 

Hishamuddin mengkritik kerajaan PH atas kelewatan pengumuman dividen

Menurutnya, dua aset terbesar LTAT seperti Boustead Holdings dan Affin Bank mengalami penurunan terbesar dalam harga saham mereka selepas pilihan raya umum ke-14.

Beliau juga mendakwa Boustead terpaksa menjual Hotel Bintang Royale Chulan kepada syarikat Singapura di bawah harga pasaran.

Bagaimanapun LTAT masih belum menjual hotel berkenaan.

Menyangkal dakwaan Najib dan Hishamuddin, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata dividen rendah sebanyak 2% untuk tahun kewangan 2018 lebih baik dari penyalahgunaan dana di bawah kerajaan sebelumnya.

Beliau berkata 2% itu sejajar dengan kedudukan kewangan dana pada masa ini memandangkan ketidakpatuhan kewangan dan tadbir urus lemah yang telah berlaku sebelum ini. – 2 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen