TIGA warga China didakwa kerana mengedar dadah jenis fentanil di Amerika Syarikat (AS), di mana ketagihan dadah sintetik itu mencetuskan kemarahan masyarakat, kata pendakwa raya AS.
Deyao Chen, Guichun Chen dan Liangtu Pan didakwa menjual hampir 3,000 bungkusan bahan dadah terkawal itu di AS dan antarabangsa antara April 2016 dan Mac 2017.
Dadah itu dijual di laman web di China dan dihantar ke AS, di mana ia diedarkan menerusi perkhidmatan pos oleh bekas timbalan serif Pennsylvania David Landis.
Dadah dijual oleh tiga defendan itu ditemui dalam sistem lima individu di AS yang mati kerana pengambilan dadah berlebihan, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman.
Deyao, Guichun dan Liangtu yang berkongsi nama samaran “Alex” mengambil tempahan dari China secara online dan menghantar dadah itu kepada Landis untuk diedarkan.
Tiga warga China itu belum ditahan dan dipercayai berada di China.
Landis mengaku bersalah dan menunggu dijatuhkan hukuman.
Pendakwaan itu dibuat ketika Washington dan Beijing bertelagah tentang penyeludupan fentanil – bahan dadah yang 50 kali lebih kuat berbanding heroin di mana bersama dadah sintetik lain, menyebabkan 32,000 kematian di AS pada 2018. – AFP, 2 Oktober, 2019.
Komen