Ibu bapa Muslim bimbang doa Kristian di sekolah mubaligh


Zaim Ibrahim

Minggu lalu, aktivis di Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung bacaan doa Kristian yang didakwa berlaku dalam majlis anugerah cemerlang si Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist di George Town, Pulau Pinang.– Gambar Youtube, 1 Oktober, 2019.

INSIDEN bacaan doa Kristian yang didakwa berlaku dalam majlis anugerah cemerlang si Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist di George Town, Pulau Pinang minggu lalu, yang kini sedang disiasat polis, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa Muslim.

Sesetengah mereka malah membayangkan akan menukar anak ke sekolah lain tahun depan kerana tidak selesa dengan apa yang berlaku.

Mereka mendakwa perkara itu pertama kali berlaku sepanjang anak-anak mereka belajar di sekolah yang mempunyai majoriti murid beragama Islam itu.

Seorang ibu yang hadir pada majlis anugerah cemerlang pada Jumaat lalu terkejut dengan bacaan doa itu kerana tidak disenaraikan dalam aturcara majlis.

“Bacaan doa ketika itu nampak seperti spontan. Tiba-tiba seorang wanita berbangsa Cina naik (pentas) dan menyebut akan baca doa perpaduan,” kata Juliana Abd Hamid, 42.

“Saya ingat selepas itu akan ada ustaz naik ke pentas untuk baca doa Islam tapi tiada. Doa dari wanita itu juga ada unsur Kristianisasi,” katanya, ketika ditemui di perkarangan sekolah mengambil anaknya pulang.

Namun ketika ditanya, beliau tidak dapat menjelaskan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan “unsur Kristianisasi”.

“Tahun-tahun sebelum ini tiada bacaan doa Kristian.

“Sekolah ini majoritinya pelajar Islam dan saya risau jika ia boleh berulang,” tambahnya.

Seorang bapa yang enggan dikenali bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight beliau sudah buat keputusan akan menukar anaknya ke sekolah tahun depan.

“Saya dan anak saya dijemput ke majlis itu tetapi tidak dapat hadir. Kalau saya ada (waktu itu) saya akan marah kepada mereka.

“Saya juga dah ambil keputusan, tahun depan saya memang nak pindahkan anak (ke sekolah lain) disebabkan isu ini,” katanya.

Insiden doa itu jadi perhatian umum selepas seorang aktivis politik Muhsin Abdul Latheef, 35, membuat laporan polis terhadap pentadbiran sekolah pada Jumaat lalu.

Beliau mendakwa pihak pengurusan sekolah cuba menyebar agama Kristian kepada Muslim, sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam laporan polisnya juga Muhsin menyebut sekolah mubaligh itu sebuah institusi majoriti Muslim kerana mempunyai 347 murid Muslim dan hanya 161 murid bukan Muslim. Sekolah itu juga mempunyai 26 guru Muslim dan 14 bukan Muslim.

Polis di Pulau Pinang hari ini memanggil beberapa individu termasuk pihak pengurusan sekolah untuk membantu siasatan.

Sekolah itu juga pada Ahad diberi amaran oleh Ketua Pengarah Pelajaran Amin Senin kerana melanggar peraturan yang ditetapkan kementerian.

Amin merujuk kepada garis panduan berhubung pengurusan acara serta sambutan untuk bahagian atau jabatan institusi di bawah kementerian, yang dikeluarkan pada 2016.

Garis panduan pada 2016 itu adalah lanjutan daripada surat pekeliling atas isu sama yang pernah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran pada 1977, berhubung bacaan doa Kristian semasa perhimpunan sekolah.

Surat pekeliling pada 1977 itu menetapkan agar sekolah mubaligh mengatur perhimpunan sekolah supaya bacaan doa Kristian dibuat dengan hanya disertai oleh pelajar dan guru beragama Kristian.

Sekolah Methodist ini dibangunkan oleh mubaligh Kristian pada 1891. Sama seperti sekolah mubaligh lain di Malaysia, ia diambil alih oleh kerajaan pada 1970-an. Gurunya dianggap sebagai kakitangan awam yang pelantikan dan perjawatan mereka ditadbir oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.

Usaha The Malaysian Insight untuk mendapatkan komen pihak sekolah berhubung insiden pada Jumaat itu tidak berhasil.

Pengerusi lembaga pengelola sekolah, Kee Phaik Cheen bagaimanapun dipetik dalam satu laporan media berkata pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga siasatan polis selesai.

Dalam pada itu, seorang waris bukan Islam pula memberitahu, beberapa amalan Kristian memang wujud dalam sekolah itu tetapi bukan bermakna untuk berdakwah.

“Amalan Kristian memang ada sikit-sikit tapi bukanlah untuk berdakwah kepada pelajar bukan Kristian.

“Saya rasa terpulang kepada ibu bapa untuk terima atau tidak perkara itu dalam sekolah ini,” tambah beliau yang juga enggan dikenali. – 1 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sangat menghairankan. Sebelum perang dunia ke 2 dan selepasnya sahingga 1970'an, berpuluh-puluh ribu kanak-kanak Melayu bersekolah di sekolah-sekolah mubaligh. Tiada satu ibu-bapa membuat sebarang aduan. Sebaliknya mereka begitu kagum dengan pendidikan yang di beri kepada anak-anak mereka oleh sekolah sekolah ini. Sekolah tetap seperti itu juga, tetapi apa telah jadi kepada ibu-bapa yang sudha begitu sensitif

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan