INDONESIA membatalkan hasrat untuk menghalang kemasukan pelancong ke Pulau Komodo sebaliknya mengehadkan jumlah pelawat dan menaikkan harga tiket untuk masuk ke pulau berkenaan, kata pegawai kerajaan.
Taman Negara Komodo yang terletak di di Nusa Tenggara Timur, Indonesia menjadi habitat kepada hampir 2,900 biawak Komodo.
Rancangan yang dibuat tahun lalu itu bakal menyaksikan taman negara itu ditutup bermula tahun 2020, berikutan kebimbangan mengenai kesan terhadap reptilia gergasi berkenaan berikutan pelancongan yang tidak terkawal.
Namun ia mencetuskan kebimbangan berhubung kesan terhadap industri pelancongan di kawasan berkenaan dan ia juga bermakna beberapa ribu penduduk yang mendiami pulau berkenaan juga terpaksa dipindahkan.
Menteri alam sekitar Indonesia Siti Nurbaya berkata, taman negara berkenaan tidak akan ditutup.
“Kita hanya akan mengubahnya menjadi destinasi pelancongan kelas dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Tahun lalu, gabenor di wilayah itu mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan untuk mengenakan bayaran seanyak AS$500 kepada pelancong yang ingin menyaksikan haiwan berkenaan, iaitu kira-kira 50 kali ganda daripada AS$10 caj kemasukan asal.
Menteri maritim, Luhut Pandjaitan berkata, sistem kuota baharu akan diperkenalkan bagi mengehadkan jumlah pelancong ke pulau itu.
Sektor pelancongan yang pesat di pulau berkenaan menyebabkan reptilia itu stres.
Malah, terdapat juga kebimbangan mengenai jumlah haiwan seperti rusa dan babi hutan yang menjadi mangsa semula jadi biawak Komodo, serrta cubaan untuk menyeludup keluar spesis biawak gergasi itu. – AFP, 1 Oktober, 2019.
Komen