Taufan Mitag dijangka landa Korea Selatan


Taufan Mitag merupakan yang ke-18 musim ini dan ketujuh yang menjejaskan Semenanjung Korea tahun ini.– Gambar EPA, 1 Oktober, 2019.

PERAMAL cuaca tempatan pada Selasa berkata Taufan Mitag mungkin akan mendarat di barat daya pantai Semenanjung Korea sekitar tengah malam Rabu, lebih awal daripada jangkaan berikutan perubahan dalam tekanan atmosfera serantau, lapor agensi berita Yonhap.

Mitag, taufan ke-18 musim ini dan ketujuh yang menjejaskan Semenanjung Korea tahun ini, sebelum ini dijangka mendarat di barat daya Korea Selatan pada kira-kira pukul 9 pagi Khamis.

Dalam perkembangan cuaca terkini, Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) berkata ketibaan taufan berkekuatan sederhana itu di tanah besar Korea Selatan dijangka berlaku sekitar tengah malam Rabu sambil menambah bahawa ia akan melewati wilayah selatan negara itu sebelum menuju ke Laut Timur pada Khamis petang.

Mitag bergerak ke utara dari kawasan perairan yang terletak 270 kilometer di utara-timur laut Taipei pada kelajuan 22 kilometer sejam pada pukul 9 pagi Selasa.

Menurut KMA, Mitag dijangka tiba ke perairan berhampiran Shanghai, China pada Selasa petang dan perairan di barat Pulau Jeju pada Rabu petang sebelum membadai kawasan pantai di Wilayah Jeolla Selatan pada lewat Rabu malam.

KMA telah mengeluarkan amaran hujan lebat bagi Pulau Jeju dan barat daya wilayah Jeolla, meramalkan 100 hingga 300 millimeter hujan di kawasan terbabit pada Khamis. – Bernama, 1 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen