HAMPIR 14,000 kanak-kanak yang kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya adalah antara sebahagian daripada setengah juta pelarian Rohingya yang melintasi Bangladesh untuk melarikan diri daripada keganasan yang tercetus di Myanmar, kata seorang pegawai hari ini.
PBB mengatakan 536,000 pelarian Rohingya tiba dari kawasan konflik Negeri Rakhine, Myanmar sejak 25 Ogos, majoritinya adalah kanak-kanak.
Jabatan Perkhidmatan Sosial Bangladesh mengatakan 13,751 kanak-kanak tanpa ibu bapa itu dikesan dalam satu tinjauan di kem pelarian penuh sesak di sepanjang sempadan negara itu. Badan kebajikan antarabangsa memberi amaran yang krisis kemanusiaan bakal bertambah buruk di situ.
“Majoriti mereka mengatakan mereka kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa pada keganasan di Rakhine,” kata Timbalan Pengarah Perkhidmatan Sosial, Pritam Kumar Chowdhury kepada AFP.
“Yang lain pula kata mereka tidak tahu apa yang berlaku kepada ibu bapa mereka, dan datang ke Bangladesh dengan saudara mara mereka.”
PBB menyifatkan keganasan di Rakhine sebagai contoh klasik pembersihan etnik, melalui cerita pelarian yang kampung mereka dibakar, berlaku rogol beramai-ramai dan pembunuhan.
Mereka yang terselamat melarikan diri ke Bangladesh termasuklah hampir 320,000 kanak-kanak, satu pertiga daripada jumlah itu adalah kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.
Bangladesh sedang membina kem pelarian terbesar dunia- di kawasan seluas tiga ribu ekar- menempatkan perumahan untuk lebih 800,000 pelarian Rohingya.
Bulan lepas seorang menteri muda meminta kawasan seluas 200 ekar dalam kem itu dikhususkan kepada kemudahan kanak-kanak.
Chowdhury berkata rumah anak yatim akan dibina untuk kanak-kanak yang tiada penjaga, dan mereka yang mempunyai ibu atau bapa akan diberikan bantuan khas dan sokongan keluarga.
Badan kebajikan memberikan amaran yang wujud kebimbangan kanak-kanak ini berisiko menjadi mangsa penderaan dan penyeludupan manusia. – AFP, 15 Oktober, 2017.
Komen