PRESIDEN Peru membubarkan parlimen dan menggesa pilihan raya diadakan, mendorong kepada undian ahli parlimen untuk menggantungnya, susulan krisis dalam institusi pentadbiran negara itu.
Pengumuman Presiden Martin Vizcarra itu dibuat selepas beliau memberi amaran kepada kongres untuk membubarkan parlimen sekiranya badan itu cuba menghalang pembaharuan anti-rasuah dan perubahan cara pelantikan hakim di mahkamah persekutuan negara itu.
Vizcarra menggesa pilihan raya parlimen diadakan pada 26 Januar, menurut dekri yang dikeluarkan dalam warta rasmi.
Sejurus selepas membuat pengumuman itu secara langsung, 89 daripada 130 ahli Kongres mengundi untuk menggantung Vizcarra selama setahun atas dasar “ketidakupayaan moral” dan mencalonkan Naib Presiden Mercedes Araoz sebagai pemangku pemimpin negara itu.
Dewan akan bermesyuarat pada Jumaat bagi mempertimbangkan usul untuk menggugurkan presiden, kata speaker Pedro Olaechea.
“Kita menghadapi rampasan kuasa,” kata pembangkang Jorge del Castillo mengenai langkah Vizcarra. “Saya harap pasukan bersenjata dan polis tidak akan campur tangan dalam perkara ini.”
Namun ketua polis dan tentera “mengesahkan sokongan penuh mereka kepada perintah perlembagaan” dan Vizcarra di istana presiden di Lima, kata presiden itu di Twitter yang turut memuat naik foto pertemuan itu. – AFP, 1 Oktober, 2019.
Komen