PASUKAN penyelamat bertungkus lumus dalam usaha untuk menyelamatkan enam orang yang dikhuatiri terperangkap selepas sebuah jambatan runtuh dan menghempap beberapa bot nelayan yang berlabuh di bawah jambatan terbabit di Taiwan.
Jambatan sepanjang 140 meter itu terletak di Nanfangao, di pantai timur Taiwan.
Runtuhan jambatan berkenaan menghempap sekurang-kurangnya tiga buah bot nelayan manakala sebuah lori tangki minyak turut terhumban ke dalam air ketika runtuhan berlaku.
Agensi Bomba Nasional Taiwan berkata keadaan enam orang yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan itu masih belum diketahui.
“Operasi menyelamat masih diteruskan,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, dan menambah sekurang-kurangnya 12 orang cedera, termasuk enam warga Filipina dan tiga pekerja Indonesia dan pemandu lori tangki yang merupakan warga Taiwan.
“Kita berharap kesemua mangsa dapat diselamatkan secepat mungkin bagi mengurangkan kerosakan,” kata Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen kepada pemberita.
Lori tangki yang membawa muatan petrol itu terbakar sebaik sahaja terhumban ke dalam air menyebabkan asap tebal.
Punca runtuhan jambatan yang dibina pada 1998 itu masih belum diketahui. – AFP, 1 Oktober, 2019.
Komen