11 polis Afghanistan terbunuh dalam serangan Taliban, 13 ditawan


Ibu pejabat polis daerah Shortepa diserang dan dibakar oleh kumpulan Taliban.–Gambar EPA, 1 Oktober, 2019.

SEKURANG-kurangnya 11 anggota polis terbunuh manakala 13 lagi ditawan selepas kumpulan militan Taliban bertindak menyerbu ibu pejabat polis di utara Afghanistan, kata pihak berkuasa.

Lebih 400 anggota kumpulan militan berkenaan menyerang ibu pejabat polis daerah Shortepa di wilayah Balkh, yang turut mencetuskan pertempuran dengan pihak polis, kata jurucakap wilayah berkenaan Munir Farhad kepada AFP.

“Sebelas anggota polis terbunuh dalam serangan itu. Ramai ahli kumpulan Taliban turut terkorban dalam serangan itu,” katanya.

Ketua polis Shortepa, Karim Khan memberitahu AFP, Taliban telah menawan 13 anggota polis dan turut membakar bangunan ibu pejabat itu sebelum melarikan diri.

Taliban dalam satu kenyataan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan menyatakan pejuangnya telah menawan daerah itu.

Serangan itu berlaku beberapa hari selepas jutaan rakyat Afghanistan keluar mengundi bagi memilih presiden baharu walaupun kumpulan Taliban melancarkan ratusan serangan berskala kecil di pusat mengundi.

Namun pihak berkuasa memuji pasukan keselamatan Afghanistan kerana berjaya menghalang kumpulan militan itu daripada melancarkan serangan berskala besar. – AFP, 1 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen