Saya diarah ke luar negara elak pendengaran PAC, kata saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Arul Kanda memberitahunya yang PMO mengarahkan beliau meninggalkan negara untuk mengelak pendengaran awam pertama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Oktober, 2019.

BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau diarahkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) ke luar negara untuk mengelak pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen pada 2015.

Shahrol berkata CEO 1MDB ketika itu, Arul Kanda Kandasamy memberitahunya yang PMO mengarahkan beliau meninggalkan negara untuk mengelak pendengaran awam pertama.

“Arul kata PMO mahu kami ke luar negara sebelum mesyuarat,” katanya, sambil menambah beliau ke Singapura.

Saksi kesembilan pendakwaan itu juga berkata satu pertemuan diaturkan dengan ahli-ahli PAC dari Barisan Nasional termasuk pengerusinya, Hasan Arifin. Pada pertemuan itu, beliau diajar menjawab soalan yang akan ditanya pada pendengaran PAC nanti, kata Shahrol.

Menurut Shahrol, sebelum pendengaran PAC pada 2015, beliau diarahkan bertemu Ahmad Farid Ridzuan yang bertanggungjawab membentuk imej Najib.

“Saya ke rumahnya di Sri Hartamas (di Kuala Lumpur). Ketika itu beberapa ahli PAC dari BN pun ada sama,” katanya, sambil menambah Hasan juga hadir.

Jelasnya, pertemuan tersebut diatur untuk melatihnya menjawab soalan yang akan ditanya oleh PAC.

Ketika itu Shahrol diberitahu bahawa skandal 1MDB adalah serangan politik terhadap Najib dan beliau diarahkan supaya tidak menghebohkan peranan Najib di 1MDB.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama. Beliau bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pemimpin berusia 66 tahun itu diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan, perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – 1 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen