PULUHAN peneroka Yahudi pada Isnin berarak menuju ke kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan sebuah agensi Palestin.
“Kira-kira 94 peneroka Yahudi memasuki kawasan itu,” kata pihak berkuasa agama - sebuah agensi dikendalikan Jordan yang bertanggungjawab mengawasi tempat suci Muslim dan Kristian di bandar itu.
Peneroka itu memasuki Al-Aqsa melalui pintu gerbang Al-Mugharbah diiringi polis Israel.
Kumpulan sayap kanan Israel menyeru penduduk Yahudi memasuki ke dalam kawasan berkenaan sempena Tahun Baru Yahudi yang disambut pada Isnin.
Bagi umat Islam, Al-Aqsa merupakan kawasan ketiga paling suci. Sementara Yahudi menyifatkan tempat itu sebagai “Kuil Gunung,” yang mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi pada zaman purba.
Rejim zionis Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, lokasi terletaknya Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967.
Tindakan yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa, Israel mengilhakkan seluruh bandar itu pada 1980, mendakwa ia sebagai ibu negara Israel yang “kekal dan tidak boleh dibahagikan”. – Bernama, 1 Oktober, 2019.
Komen