PERDANA Menteri Australia Scott Morrison mengesahkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memintanya mendapatkan maklumat untuk menyiasat siasatan peguam khas, Robert Mueller mengenai campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden pada 2016.
Laporan akhbar The New York Times memetik pegawai AS yang dirahsiakan sebelum ini berkata permintaan untuk membantu AS menyangkal siasatan Mueller itu dibuat menerusi panggilan telefon.
Seorang jurucakap kerajaan Australia hari ini mengesahkan permintaan AS itu dan berkata negara itu sentiasa bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan tujuan untuk mendapat pencerahan mengenai perkara yang sedang disiasat itu.
“PM sekali lagi mengesahkan kesediaan ini semasa perbualan dengan presiden (Trump).”
Times berkata White House menyekat akses kepada transkrip panggilan telefon Trump-Morrison sama seperti sekatan ke atas panggilan telefon antara Trump dengan Presiden Ukrain Volodymyr Zelensky.
Washington Post melaporkan Peguam Negara Bill Barr mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai risikan asing di luar negara berkenaan sebagai usaha menjejaskan siasatan risikan AS bahawa Rusia membantu kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden 2016. – AFP, 1 Oktober, 2019.
Komen