India tetap mahu beli senjata Rusia walau AS ancam sekatan


India setuju untuk membeli sistem pertahanan peluru berpandu S-400 buatan Rusia bernilai AS$5.2 bilion. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2019.

MENTERI luar India semalam mempertahankan keputusan negara itu untuk membeli sistem pertahanan peluru berpandu buatan Rusia meskipun menerima ancaman sekatan dari Amerika Syarikat (AS).

“Kami sentiasa menegaskan bahawa apa yang kami beli - sumber peralatan tentera - adalah hak negara kami,” katanya kepada pemberita menjelang pertemuan dengan Setiausaha Negara AS Mike Pompeo.

“Kami tidak suka mana-mana negara beritahu kami apa yang perlu dibeli atau tidak dari Rusia.

“Kebebasan memilih adalah hak kami dan kami fikir semua orang perlu tahu.”

Sekutu Soviet Union dalam Perang Dingin itu pada tahun lepas setuju untuk membeli S-400 bernilai AS$5.2 bilion.

Pada Jun, Turki, sekutu Nato juga setuju membeli S-400 buatan Rusia. AS yang berang dengan tindakan Turki, mengeluarkan negara itu dari program program jet pejuang F-35 tetapi belum mengumumkan sebarang sekatan lain. – AFP, 1 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen