SEORANG murid perempuan berkulit hitam berusia 12 tahun di Amerika Syarikat (AS) mengaku membuat tuduhan palsu terhadap tiga pelajar lelaki kulit putih menolaknya dan memotong tocang rambutnya dalam satu serangan yang mencetuskan kemarahan ramai.
Amari Allen, murid sebuah sekolah persendirian di Springfield, Virginia berkata dia diserang pada waktu rehat oleh murid lain yang menutup mulutnya, menggelarnya hodoh dan memotong sebahagian rambutnya.
Tetapi keluarganya dan Sekolah Kristian Immanuel semalam mengeluarkan kenyataan berkata murid itu mengakui cerita itu tidak benar.
“Kepada pelajar lelaki berkenaan dan keluarga mereka, kami dengan rendah diri memohon maaf,” kata keluarga itu.
“Kami berharap dan berdoa semua pelajar lelaki terbabit, keluarga mereka, sekolah dan masyarakat akan dapat memaafkan kami.”
Guru besar Stephen Danish berkata murid itu mengaku tuduhan berkenaan adalah palsu dan beliau mengucapkan terima kasih kepada polis yang menjalankan siasatan.
Satu rakaman video menafikan tuduhan berkenaan, tetapi murid perempuan itu bertegas mengatakan dia mangsa buli di sekolah, lapor media tempatan.
Dia mengaku memotong sendiri tocangnya dan mereka cerita dia diserang selepas neneknya yang juga penjaganya, bertanya kepadanya minggu lalu.
Murid itu dan keluarganya banyak ditemu bual oleh saluran TV dan akhbar.
Sekolah Kristian di pinggir Washington itu mendapat perhatian awal tahun ini apabila Karen Pence – isteri kepada Naib Presiden Mike Pence – bekerja separuh masa sebagai guru. – AFP, 1 Oktober, 2019.
Komen