Khalid Ibrahim akan berkempen bersama PAS dan Umno


Sharon Tan

Bekas Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusinya dalam plilihan raya umum akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Oktober, 2017.

BEKAS Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim akan berkempen bersama-sama PAS dan Umno/Barisan Nasional (BN), tetapi tidak akan mempertahankan kerusinya dalam plilihan raya umum akan datang.

“Saya akan bersama-sama dengan PAS dan Umno/BN berjuang untuk rakyat Selangor,” kata Khalid pada majlis minum petang bagi mengumpul dana jentera pilihan raya PAS Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau juga menafikan dakwaan akan menyertai Umno.

Malaysiakini semalam melaporkan Khalid dijangka akan mengumumkan penyertaannya dalam Umno hari ini.

“Saya sudah beritahu banyak kali yang saya tidak akan bertanding di kerusi negeri dan parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

“Apa yang penting sekarang ialah kita menjalankan tugas dan apabila sudah sampai dua penggal, kita harus beri peluang kepada orang lain,” kata Khalid, sambil menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti kerana tidak berhasrat untuk bertanding.

Beliau berkata akan bekerjasama dengan tiga bekas menteri besar bagi membincangkan bagaimana membangunkan Selangor.

“Saya akan minta rakan-rakan dari PAS untuk turut serta supaya kita dapat mencari jalan untuk bangunkan Selangor. Tak ada masalah.

“Apa yang penting, kita berada dalam politik untuk pembangunan dan kesejahteraan serta manfaat kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, perlu ada kerjasama untuk pembangunan negara.

Bulan lepas, Ketua Perhubungan Umno Selangor Noh Omar berkata tiga bekas menteri besar Selangor iaitu Muhammad Muhammad Taib, Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo akan bergabung untuk merampas Selangor dari Pakatan Harapan (PH).

Khalid berkata PAS sudah bersedia untuk menerima siapa yang akan menyokong parti itu walaupun dari kalangan bukan Islam.

“Sebab itu PAS membentuk satu gagasan bukan sahaja untuk orang Islam. Ini prinsip yang diperjuangkan PAS. Saya terima perjuangan untuk semua orang,” katanya.

Kata Khalid, perjuangan mereka tidak harus terhad hanya kepada parti tetapi lebih meluas. 

“Apabila kita kata parti melawan rasuah tetapi orang yang korup itu bercakap tentang perjuangan menentang rasuah, jadi kita tak perlu lagi bercakap mengenainya,” katanya. – 15 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen