BENDERA kebangsaan Korea Selatan dijangka berkibar di sebuah stadium di Pyongyang semasa pusingan kelayakan Piala Dunia antara kedua-dua Korea bulan depan, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian perpaduan di Seoul pada Isnin.
Korea Utara bakal menjadi tuan rumah perlawanan itu pada 15 Oktober apabila kedua-dua negara diletak dalam kumpulan yang sama dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Fifa 2022.
“Apabila Korea Utara menyebut bahawa ia akan melakukan persiapan bagi perlawanan itu selaras dengan amalan antarabangsa, isu seperti mengibarkan bendera kebangsaan akan turut ditangani selaras dengan amalan sedemikian,” kata jurucakap kementerian itu Lee Sang-min semasa taklimat rutin akhbar.
Korea Selatan sedang merundingkan penghantaran skuad sorak ke Pyongyang bagi perlawanan itu namun Lee berkata setakat ini tiada kemas kini berkaitan perkara itu dari pihak Korea Utara. – Bernama, 30 September, 2019.
Komen